Anemia Boleh Mengancam Nyawa Ibu Mengandung?

Anemia ialah suatu keadaan yang disebabkan oleh kekurangan sel darah merah atau hemoglobin (HB) dalam darah, menyebabkan pucat dan keletihan.

Anemia didiagnosis sebagai keadaan di mana tubuh kita tidak menghasilkan sel darah merah yang cukup sihat.

Sel darah merah adalah penting untuk kesihatan tubuh badan kita. Ia membawa hemoglobin (HB), protein kompleks yang mengandungi molekul zat besi (iron).

Fungsi utama molekul ini adalah membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh tubuh.

Sekiranya tidak terdapat sel darah merah yang mencukupi, seseorang mungkin mengalami gejala seperti rasa letih atau lemah.

Secara saintifiknya, bacaan HB rendah yang di kategorikan sebagai anemia ketika mengandung ialah kurang dari 11 gm/dl.

Inilah dia keadaan yang selalu kita dengar HB rendah, HB low.

Lagi-lagi pada ibu mengandung, selalu kan kita dengar keluhan mereka selepas pemeriksaan kesihatan (check-up).

“…doktor cakap HB rendah..kena jaga pemakanan..kena rehat banyak…patutlah aku rasa kenapalah badan letih-letih sangat dan cepat penat…dan lagi..dan lagi…”

 

Apakah Punca Anemia (HB rendah) Ketika Mengandung?

Semasa kehamilan, badan anda menghasilkan lebih banyak darah untuk menyokong pertumbuhan bayi. Sekiranya tidak mendapat cukup zat atau nutrien lain, tubuh anda mungkin tidak dapat menghasilkan jumlah sel darah merah yang diperlukan untuk menghasilkan darah tambahan ini.

Adalah normal untuk mengalami anemia ringan semasa mengandung. Namun jika tidak di atasi, ia boleh membahayakan ibu dan bayi.

#1 – Anemia akibat kekurangan zat besi.

Jenis anemia ini berlaku apabila badan tidak mempunyai cukup besi untuk mengeluarkan jumlah hemoglobin yang mencukupi. Ia adalah protein dalam sel darah merah. Ia berfungsi membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh badan.

Akibat kekurangan zat besi, ia menyebabkan darah tidak dapat membawa oksigen yang cukup kepada tisu di seluruh badan.

Kekurangan zat besi adalah penyebab utama anemia semasa kehamilan.

#2 – Anemia akibat kekurangan folat.

Folat adalah vitamin yang didapati secara semulajadi dalam makanan tertentu seperti sayur-sayuran berdaun hijau. Ia vitamin jenis vitamin B.

Badan memerlukan folat untuk menghasilkan sel baru, termasuk sel darah merah yang sihat.

Semasa kehamilan, wanita memerlukan folat tambahan. Tetapi kadang-kadang mereka tidak mendapat cukup dari diet mereka. Apabila itu berlaku, tubuh tidak boleh membuat sel darah merah yang normal untuk mengangkut oksigen ke tisu seluruh badan.

Vitamin tambahan yang di perlukan akibat kekurangan folat ialah asid folik.

Kekurangan folat secara langsung boleh menyumbang kepada beberapa jenis kecacatan kelahiran, seperti cacat saraf tulang belakang (spina bifida) dan bayi kecil/bayi lahir kekurangan berat badan.

#3 – Kekurangan vitamin B12.

Tubuh memerlukan vitamin B12 untuk membentuk sel darah merah yang sihat. Apabila seorang wanita mengandung tidak mendapat cukup vitamin B12 dari dietnya, tubuhnya tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang sihat.

Wanita yang tidak memakan daging, ayam, produk tenusu dan telur mempunyai risiko yang lebih besar untuk membina kekurangan vitamin B12, yang mungkin menyumbang kepada kecacatan kelahiran, seperti keabnormalan tiub neural, dan boleh menyebabkan kelahiran pra-matang/kelahiran awal (pre-mature baby).

Simptom Anemia

  • Cepat rasa lemah atau keletihan
  • Pening
  • Sesak nafas
  • Denyutan jantung yang cepat atau tidak teratur
  • Sakit dada
  • Kulit, bibir, dan kuku yang pucat
  • Tangan dan kaki sejuk
  • Masalah menumpukan perhatian – hilang daya fokus

Oleh itu, ibu hamil haruslah menjaga pemakanan yang seimbang. Boleh tambah nutrisi dalam diet pemakanan harian anda dengan vitamin tambahan.

Minum banyak air dan dapatkan rehat yang mencukupi. Semoga anda dapat menjalani pengalaman kehamilan yang menyeronokkan 😁

Leave a Reply